Friday, January 1, 2010

Penjajaran Planet & Gerhana Berganda: Petanda Ilahi yang Menakutkan Kuasa Barat

ref:
GabanZ
http://www.kedahonline.net

Allah yang Maha Perkasa telah menzhahirkan pelbagai tanda di langit untuk manusia memikirkan kebesaran dan keperkasaan-Nya dalam memelihara keseluruhan sistem sekitaran berkenaan termasuk mengawal peredaran planet dan bulan di orbit masing-masing.

ALLAH yang Maha Perkasa telah menzhahirkan pelbagai tanda di langit untuk manusia memikirkan kebesaran dan keperkasaan-Nya dalam memelihara keseluruhan sistem sekitaran berkenaan termasuk mengawal peredaran.

Bukan 50 dalil, bahkan ribuan dalil dan petunjuk Ilahi telah diperincikan melalui Kitabullah tentang dunia langit. Cendekiawan Barat yang berpengetahuan praktikal sering bertanya “apakah tanda bagi kebesaran Allah di langit?”, maka Al-Quran menjawab (dengan maksud), “Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah malam ; Kami tanggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta merta mereka dalam kegelapan. Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Yasin, 36: 37-38).

Bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa mutakhir seperti tragedi 11 September 2001 di New York, pembunuhan beramai-ramai di Jenin, persengketaan agama di Gujerat; ada juga sarjana Barat yang menanyakan sifat hubungan peristiwa berkenaan dengan aktiviti pergerakan planet luar biasa di langit.

Kata mereka, “Apakah ini (penjajaran planet dan gerhana berganda) juga termasuk di dalam tanda-tanda kebesaran Ilahi atau termasuk tanda-tanda kemusnahan alam ini (Qiamat)?”. Maka al-Quran juga telah memberikan jawapan yang praktis kepada persoalan tersebut. Maksud firman Allah, “Ia bertanya: Bilakah hari kiamat itu? Maka apabila, mata terbelalak (ketakutan). Dan apabila bulan telah hilang cahayanya, dan matahari dan bulan dikumpulkan” (Al-Qiyamah, 75 : 7-9).

Sebenarnya bagi yang khauf akan Allah, peristiwa ini menambahkan keyakinan mereka terhadap ayat-ayat Allah. Berdasarkan syarahan Syeikh Muhammad Syafi berkenaan tentang tanda-tanda Kiamat, ia dipecahkan kepada dua (tanda-tanda Kiamat Kecil dan Kiamat Besar) dan pemisah atau takat ambang (threshold) kepadanya adalah peristiwa gerhana berganda (double eclipse) pada bulan Ramadan.

Para cendekiawan Barat termasuk paderi dan rabbi telah bersepakat bahawa tanda-tanda Kiamat Kecil telahpun semakin ‘selesai’ dipertunjukkan oleh Pencipta. Hal ini telah mendorong pihak Zionis meneruskan cita-cita pembinaan semula kuil mereka di tapak masjid al-Aqsa. Kelahiran sapi merah (apocalypse cow) yang bakal dikorbankan darahnya kepada pembukaan kuil berkenaan juga telah diramalkan menerusi kemahiran mereka dalam ilmu praktis astronomi dan kaji bintang.

Ramalan Michel de Nostredame atau lebih dikenali Nostradamus tentang perihal tanda-tanda penghujung dunia sebenarnya datang dari `kata-kata ramalannya' yang dibuat dalam bentuk quatrain atau bahasa berangkap akan tetapi ditafsir menerusi ilmu sains yang praktikal oleh sarjana-sarjana Yahudi di Barat selepas kematiannya.

‘Ahli nujum’ Nostradamus ini dikatakan telah meramal `dengan tepat' beberapa kejadian besar yang berlaku di dunia 400 tahun selepas kematiannya termasuk keruntuhan menara berkembar New York pada jam 8 pagi , 11 September 2001. Ramalan beliau terhadap penjajaran planet dan gerhana berganda diperkuatkan lagi dengan hujah paderi dan rabbi tentang kedatangan al-Masih. Malah, ia hampir tepat walaupun penggiraannya tidak melibatkan pakej perisian tercanggih lagi terkini jika dibandingkan dengan ramalan pihak NASA.

Sebagai contoh, penjajaran planet pada 5 Mei 2000 dan 5 Mei 2002 serta gerhana berganda yang akan bakal berlaku pada 9 November 2003/15 Ramadan 1424 (gerhana penuh bulan) dan 24 November 2003/30 Ramadan 1424 (gerhana penuh matahari) merupakan di antara ‘ramalan’ yang berbentuk quatrain sebagai petanda akhir zaman telah dibuktikan tepat melalui penggunaan teknologi penderiaan jauh dan sains astronomi.

Sebenarnya, wujud pertalian di antara ilmu pengetahuan sains yang praktikal dengan ilmu wahyu dan kalam Ilahi. Ilmuan sains Muslim terdahulu juga pernah mengaitkan kedua-duanya menerusi ilmu kashaf dan ilham yang datang dari Allah di samping penyelidikan saintifik.

Namun, pada pandangan saya, secara statistiknya memang dapat dijalinkan hubungan murni (secara kebetulan) antara peristiwa di langit dengan aktiviti di sekitaran bumi. Sebagai contoh klasik, tidaklah menghairankan sekiranya telah berlaku gerhana matahari penuh pada hari kelahiran Rasul SAW pada 24 November 569 yang dapat dilihat dengan jelas di Jazirah Arab pada 06:37:52.3 UT (eclipse magnitude = 1.03), manakala gerhana bulan penuh semasa kejatuhan kerajaan Konstantinopal pada 22 Mei 1452 serta peperangan kuno Peloponnesian pada 3 Ogos 431 BCE.

Kesimpulannya, walaupun para sarjana Barat, paderi dan rabbi berjaya mengorek rahsia alam menerusi Kitabullah, namun mereka sebenarnya tidak mendapat petunjuk dari Allah kerana firman Allah “Kitabullah ini tidak ada keraguan padanya petunjuk bagi mereka yang bertaqwa kepada Allah” (Al-Baqarah,2 : 2).

Ramalan-ramalan Nostradamus (1503), Heinrich Heine (1797), Jean Dixon (1961) serta para astrologi lain seperti peristiwa penjajaran planet dan gerhana berganda ini telahpun MENGGEGAR DAN MENAKUTKAN KUASA BARAT bahawa Hari Kiamat akan pasti tiba dan kebenaran akan pasti bertakhta.

Kepada mereka yang berpegang teguh kepada Kitabullah dan tergolong dalam golongan muttaqiin, pergerakan planet samada yang biasa atau luarbiasa kesemuanya membawa kepada manfaat serta ‘makanan’ kepada rohani mereka, sebagai asbab meningkatkan hubungan diri dengan Pencipta, Khalik yang Malik.

Firman Allah bermaksud, “…iaitu orang-orang yang mengingati Allah, sambil berdiri, duduk, atau sambil berbaring. Dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (lalu berdoa): Ya Tuhan kami, tidaklah engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha suci engkau, maka peliharalah kami daripada azab api neraka.” (Ali ‘Imran, 3: 191)."




0 comments:

 
TEMPLATE BY SEE HEART