Thursday, December 24, 2009

Kejam dan Ganas

Polis buru ‘tiga jahanam’ belasah mangsa lepas samun

KOTA TINGGI: Polis daerah ini memburu ‘tiga jahanam’ yang disifatkan penjenayah ganas kerana sanggup bertindak agresif dengan membelasah mangsa sehingga pengsan ketika melakukan jenayah samun.


DIKEHENDAKI...fotofit suspek pertama (kiri) dan kedua
yang diburu polis.



Ketiga-tiga lelaki terbabit dikehendaki polis selepas dipercayai bertanggungjawab membelasah seorang remaja berumur 18 tahun sehingga hampir pengsan termasuk melibas muka mangsa menggunakan sarung pedang samurai, Sabtu lalu.

Dalam kejadian di Jalan Remia, Taman Kota Jaya di sini, mangsa diserang ketika menunggang motosikal dalam perjalanan untuk membeli sarapan kira-kira jam 6.15 pagi.

Difahamkan, ketiga-tiga penjenayah terbabit yang menaiki dua motosikal Modenas Kriss berwarna hitam dan sebuah lagi berwarna biru menghalang perjalanan mangsa berdekatan sebuah jambatan.





Sejurus kemudian, dengan menggunakan pedang samurai bersarung dan sebatang besi, penjenayah terbabit menghampiri dan menyerang mangsa.

Seorang daripada suspek melibas sarung pedang samurai ke muka remaja itu, manakala dua rakan penjenayah membelasah hingga menyebabkan mangsa lembik dan hampir pitam.

Dalam keadaan terbaring dan mengerang kesakitan, penjenayah terbabit menyeluk saku seluar mangsa dan mengambil wang RM80 sebelum menyentap rantai leher dan gelang tangan perak milik mangsa.

Mangsa ditinggalkan di situ sebelum ketiga-tiga suspek memecut meninggalkan tempat kejadian menuju Jalan Air Terjun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Osman Muhammad Sebot ketika ditemui semalam mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan terperinci dijalankan bagi membawa ketiga-tiga penjenayah itu ke muka pengadilan.

Katanya, pihaknya menjejaki ketiga-tiga suspek dengan mengedarkan fotofit dua daripada mereka dan yakin usaha itu akan membuahkan hasil dalam masa terdekat dengan kerjasama orang ramai.

“Suspek pertama bertubuh kurus, berkulit gelap, bermata kuyu dan bermisai nipis. Manakala suspek kedua bersusuk badan gempal, kulit cerah berjerawat, mulut lebar dan mempunyai parut di dagu kiri,” katanya.

Sehubungan itu, Osman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 07 8837222.

“Polis menghargai peranan orang awam menyalurkan maklumat kerana terbukti ia sudah banyak membantu pihak berkuasa membantu memerangi jenayah dan menyelesaikan kes tertentu,” katanya.



0 comments:

 
TEMPLATE BY SEE HEART